Tiada penculikan hampir tujuh tahun, keyakinan pelancong ke Pantai Timur Sabah meningkat pantas

KOTA KINABALU: Rekod sifar kes penculikan di Pantai Timur Sabah sejak Januari 2020 menjadi antara faktor yang membantu memulihkan keyakinan pelancong asing dan merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos berkata, kestabilan keselamatan yang berjaya dikekalkan sejak 15 Januari 2020 turut menyaksikan beberapa negara luar menurunkan tahap nasihat perjalanan kepada rakyat masing-masing.
Menurutnya, perubahan itu memberi gambaran positif terhadap tahap keselamatan Pantai Timur Sabah yang sebelum ini sering dikaitkan dengan ancaman penculikan rentas sempadan.
“Kejayaan ini turut memberi kesan positif apabila kebanyakan negara luar telah menurunkan tahap amaran atau notis nasihat perjalanan ke kawasan berkenaan daripada tahap tiga dan dua kepada tahap satu.
“Kesannya, kita dapat melihat kehadiran para pelancong dari negara-negara yang sering berkunjung ke sini semakin meningkat,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, hari ini.
Victor berkata, kejayaan itu tidak dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil usaha berterusan kepimpinan terdahulu dan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah terpelihara.
Katanya, persekitaran yang selamat turut membolehkan masyarakat setempat menjalankan kegiatan ekonomi dengan lebih yakin, selain menggalakkan pembangunan kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Victor turut memperkenalkan Datuk Abdul Fuad Abdul Malek sebagai Komander ESSCOM yang dijadual mengambil alih jawatan berkenaan pada 19 November.
Beliau yakin pengalaman dan pengetahuan Abdul Fuad mengenai aspek keselamatan Sabah mampu memastikan tahap keselamatan kawasan ESSCOM terus dipertahankan.
Kunjungan hormat itu turut menjadi platform bagi Victor memaklumkan secara rasmi pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Yang di-Pertua Negeri.
HotNewsToday brings you the latest breaking news, world headlines, politics, business, technology, sports and entertainment updates. Stay informed with the stories that matter.



