Polis mohon bantuan orang ramai kesan empat remaja perempuan hilang

KOTA KINABALU: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan empat remaja perempuan yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini sejak Oktober.
Keempat-empat remaja berkenaan ialah Lorna Palmani, 17, dari Kampung Numbak, Menggatal yang dilaporkan hilang sejak 22 Oktober lalu.
Turut dilaporkan hilang ialah Olivia Jeffrey, 16, dari Menggatal sejak 7 November, diikuti Nadyana Albaser, 16, dari Kampung Warisan Kalansanan, Inanam sejak 8 November.
Seorang lagi remaja, Farha Nabila Abdullah, 14, dari Kampung Sinulihan, Inanam pula dilaporkan hilang sejak 9 November lalu.
Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kesemua remaja berkenaan supaya menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai turut diminta membantu menyebarkan hebahan berkenaan bagi memudahkan usaha mengesan mereka.
Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat dihargai dalam membantu pihak polis menjalankan usaha berkenaan.




