Rabu, 4 November 2026 RSSFacebookXInstagram

Peluang pelaburan Malaysia-China diperluas menerusi kerjasama strategik di Guangzhou

Admin · 2/11/2026, 12:35 pm · 30 bacaan

Peluang pelaburan Malaysia-China diperluas menerusi kerjasama strategik di Guangzhou

GUANGZHOU: Hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China terus diperkukuh menerusi pemeteraian Surat Hasrat Kerjasama (LOI) antara Federation of Public Listed Companies Berhad (FPLC) dengan dua kumpulan industri utama China di Guangzhou, hari ini.

Kerjasama itu membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluas penglibatan dalam pasaran China, selain memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah merangkap Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau berkata, kekuatan Guangzhou dalam pembuatan berteknologi tinggi, pelaburan industri, inovasi teknologi dan pembangunan rantaian bekalan melengkapi kelebihan ekonomi Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FPLC berkata, kepakaran syarikat China dalam teknologi industri, pembuatan dan pelaburan modal mampu digabungkan dengan kedudukan Malaysia yang mempunyai akses luas ke pasaran ASEAN.

Menurutnya, gabungan kelebihan itu berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan rentas sempadan dan kerjasama komersial melalui perkongsian sumber serta kolaborasi lebih erat.

Atas jemputan Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou, Dexter menghadiri Persidangan Pelaburan Antarabangsa Guangzhou Ke-12 pada 4 November.

Dalam sesi khas mengenai peluang pelaburan di Guangzhou untuk usahawan dan syarikat Cina perantauan, beliau mewakili FPLC dalam majlis menandatangani LOI bersama Guangzhou Industrial Investment Holdings Group (GIIHG) dan Dongling Holdings Group.

LOI itu ditandatangani bersama Timbalan Pengurus Besar GIIHG, Zhang Jinquan dan Pengerusi Dongling Holdings Group, Lai Ningchang.

Kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan antara Guangzhou dengan Malaysia, selain memudah cara hubungan lebih erat dengan pasaran ASEAN.

Menurut Dexter, inisiatif itu bermula hasil pendekatan terus Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou yang menghubunginya bagi mewakili FPLC dalam majlis berkenaan.

Beliau berkata, jemputan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kekuatan kolektif, kedudukan antarabangsa dan potensi perniagaan syarikat tersenarai awam Malaysia.

Dari kiri, Yong Siew Lee, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou Jiang Fan, Dexter dan Jaccie Koh semasa menghadiri acara terbabit.
KENANGAN: Dari kiri, Yong Siew Lee, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou Jiang Fan, Dexter dan Jaccie Koh semasa menghadiri acara terbabit.
Pemeteraian LOI itu turut mencatat sejarah sebagai kerjasama seumpamanya yang pertama dimeterai FPLC di China, sekali gus membuka ruang kepada penglibatan kolektif syarikat tersenarai awam Malaysia dalam inisiatif industri dan pelaburan antarabangsa.

Sebagai organisasi yang mewakili syarikat tersenarai awam daripada pelbagai sektor, FPLC menyediakan platform untuk menggabungkan sumber modal, keupayaan industri, rangkaian korporat serta akses kepada pasaran antarabangsa.

Dua kumpulan industri yang terlibat dalam kerjasama itu mempunyai pengalaman luas serta asas perniagaan yang kukuh dalam sektor masing-masing.

GIIHG mempunyai sejarah pembuatan melebihi satu abad dan beroperasi dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi, perkhidmatan industri moden serta pelaburan industri.

Kumpulan itu mempunyai sejumlah anak syarikat dan syarikat tersenarai, selain rangkaian perniagaan di lebih 160 negara dan wilayah.

Sementara itu, Dongling Holdings Group yang ditubuhkan pada 1994 mempunyai kepentingan perniagaan dalam sektor bijirin dan minyak, jentera serta pelaburan.

Kumpulan berkenaan mempunyai lebih 50 syarikat subsidiari, syarikat berkaitan dan syarikat pelaburan ekuiti, dengan operasi merangkumi lebih 10 negara dan wilayah.

Ia juga beberapa kali tersenarai dalam kelompok 500 Syarikat Swasta Terbaik China dan 500 Syarikat Pembuatan Terbaik China.

Gabungan kepakaran kedua-dua kumpulan itu dijangka membuka lebih banyak ruang kepada syarikat Malaysia untuk menjalin hubungan korporat, meneroka kolaborasi industri dan memperluas operasi di China.

Pada masa sama, kerjasama itu turut menyediakan saluran kepada syarikat berpangkalan di Guangzhou untuk bertapak atau mengembangkan operasi di Malaysia dan rantau ASEAN.

Persidangan Pelaburan Antarabangsa Guangzhou Ke-12 berlangsung dari 4 hingga 5 November 2026 dan sejak diperkenalkan pada 2015, berkembang sebagai platform antarabangsa bagi menarik pelaburan, menghubungkan sumber industri serta memudah cara kerjasama perniagaan.

Sesi khas mengenai peluang pelaburan Guangzhou itu menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin perniagaan Cina perantauan dan usahawan dari pelbagai negara serta wilayah.

Program berkenaan merangkumi pembentangan promosi pelaburan, pengumuman projek utama, majlis pemeteraian kerjasama dan aktiviti jaringan perniagaan.

Turut hadir Naib Presiden MCCC Sabah, Yong Siew Lee dan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou, Jiang Fan, bersama beberapa wakil lain.

Berita Berkaitan